My Own Happiness Project

My Own Happiness Project
because happiness begins inside and flows out...

20080330

renungan hujung minggu...

Hujung minggu lalu merupakan satu tempoh yang banyak membawa kepada pengertian tentang apa yang sedang berlaku di dalam hidup saya untuk beberapa bulan yang lalu... walaupun harus saya akui yang saya masih tidak faham sepenuhnya tentang apa yang berlaku sebenarnya.

Dalam 3 bulan yang lepas pendirian dan tunggak keperibadian saya tergugat dengan rancangan penempatan semula kakitangan di pejabat. Sebelum ini saya memang banyak menumpukan perhatian saya terhadap kerja, dan boleh dikatakan 95% benda di dalam kepala saya berkaitan dengan kerja. Saya sanggup keluar malam walaupun tidak dibayar elaun lebih masa demi memastikan program yang dijalankan akan berjaya. saya sanggup dipandang serong oleh mereka-mereka yang kurang berfikiran terbuka kerana merapatkan diri dengan golongan sasaran yang terpinggir, kerana mereka lah yang mendorong perkembangan minat saya di dalam kesihatan awam... dan apabila ini mula retak, begitu juga dengan keperibadian saya mula bergoyang...

Di manakah letaknya keperibadian seseorang itu? Saya tertanya-tanya apakah yang menjadi definasi diri saya sekarang ini. Suatu masa dahulu saya yakin bahawa definasi diri tergambar pada peranan seseorang itu. Peranannya di dalam masyarakat, peranannya di dalam keluarga. peranannya di dalam institusi kerja... peranannya di dalam perhubungannya, perananannya di dalam persahabatannya.
Atau adakah keperibadian itu terletak jauh lebih dalam daripada yang dibenarkan oleh perbatasan penglihatan? Di dalam kepercayaannya? Di dalam ideologi yang dipegangnya... untuk apa dia sanggup mempergadaikan nyawanya...

Beberapa minggu yang lepas juga banyak persoalan fikiran dikosongkan, dengan harapan dapat dimuatkan dengan jawapan yang dicari di dasar gelas... kerana biasanya, kata orang, di dasar gelas ada kebenaran... ada kejujuran... tetapi yang saya jumpa, adalah kekebasan, bukan kebebasan. Dan kekebasan itu tidak kekal.

Yang dikejar tak dapat, yang dikandung berciciran. Peribahasa ini banyak menceritakan situasi dalam kehidupan saya dalam beberapa minggu yang lalu... demi mencari penerimaan yang belum pasti, saya banyak memandang dengan sebelah mata perkara-perkara dan perhubungan yang ada di sekeliling saya, yang telah pun menerima saya seadanya. Pertengkaran, pertukaran kata-kata korosif yang tidak sengaja dipertuturkan banyak menagih cukai dalam perhubungan dan persahabatan yang sedia ada.

Mungkin juga saya terlalu mencari penerimaan untuk mengukuhkan goyang dalam retak yang timbul dalam keperibadian saya.

Saya tidak tahu.

Dapatkah retak ini ditampal dengan benda yang lain, selain daripada keperibadian saya sendiri?

Saya tidak tahu.

Yang saya tahu, saya perlu mencari diri saya kembali....

No comments: