My Own Happiness Project

My Own Happiness Project
because happiness begins inside and flows out...

20080309

BN bentuk kerajaan di sabah...

Berita Harian Online

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Sabah tepat jam 11.40 malam tadi, sebaik memperoleh kerusi ke-40 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

BN turut merampas kembali kerusi DUN Kuala Penyu dan Parlimen Sandakan yang kedua-duanya dimenangi calon Bebas pada 2004 tetapi kehilangan kerusi DUN Sri Tanjong dan Parlimen Kota Kinabalu.

Dua kerusi itu dimenangi calon DAP iaitu Wong Sze Phin di Sri Tanjong dan Hiew King Chew bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, mengekalkan kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti 7,657 dalam pertandingan empat penjuru.

Dua menteri Persekutuan iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Mohd Shafie Apdal masing-masing mengekalkan penguasaan BN di Parlimen Penampang serta Semporna manakala keputusan bagi Datuk Dr Maximus Ongkili belum diperoleh setakat jam 1.30 pagi.

Dua timbalan menteri Persekutuan iaitu Datuk Anifah Aman dan Datuk Azizah Mohd Dun juga mencatat kemenangan, setiap satu bagi Parlimen Kimanis serta DUN Klias.

Musa berkata, penerimaan sebahagian besar rakyat Sabah terhadap BN membuktikan keyakinan mereka terhadap kemampuan parti itu.

"Syukur kepada Allah atas kejayaan ini dan ia menandakan rakyat Sabah yakin hanya BN mampu melaksanakan pembangunan secara berterusan," katanya di kediaman rasminya di Sri Gaya, malam tadi.

Beliau yang berkata, kejayaan BN juga membuktikan rakyat Sabah yakin dengan kepempimpinan negara yang diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selain berharap untuk menikmati lebih banyak pembangunan pada masa depan.

Mengulas kejayaan BN merampas kerusi DUN Kuala Penyu, Musa berkata, ia membuktikan rakyat di kawasan berkenaan sudah menyedari kesengsaraan berada di bawah wakil rakyat Bebas yang tidak mampu membawa pembangunan.

Mengenai kekalahan calon BN di Parlimen Kota Kinabalu, Chin Teck Ming kepada calon DAP, Hiew King Chew, Musa berkata:

"Pengundi mungkin memilih DAP tetapi hakikatnya saya yakin masih ramai yang menyokong BN," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, PBS akan meneliti secara terperinci berhubung faktor kekalahan Chin.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, berkata pihaknya gembira kerana semua enam kerusi merangkumi empat kerusi DUN dan dua Parlimen yang ditandingi parti itu menyumbangkan kemenangan kepada BN.

"Jelas kelihatan pembangkang tidak mendapat sokongan padu rakyat Sabah kerana mereka tahu siapa yang lebih berkemampuan," katanya.

No comments: