My Own Happiness Project

My Own Happiness Project
because happiness begins inside and flows out...

20080401

existential loneliness... siapa tahu saya wujud?

Beberapa hari yang lalu, bersama seorang sahabat sambil makan tengahari, timbul isu perihal kesunyian. Dia bertanya, "Percayakah kau, jika saya sebenarnya merasa sunyi?"

Saya percaya.

Saya tahu, bahawa walaupun dari segi luaran nampak seseorang itu agak ceria, mudah sosial, sentiasa dikelilingi oleh orang - macam sahabat saya tu, tetapi seseorang itu masih boleh merasa kesunyian. Seperti kata orang, walaupun berada di dalam majlis, di dalam bilik yang penuh sesak dengan jemputan, namun masih boleh berasa sunyi.

Isu kesunyian sebenarnya telah lama bermain di dalam fikiran saya, dan saya masih ingat detik yang mana isu ini ditanamkan dalam minda saya: semasa sesi pengakuan bersama seorang paderi, dia menyuarakan pendapatnya bahawa saya mungkin berasa kesunyian... tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkan secara tepat frasa yang digunakannya.

Dalam bahasa Inggeris ia berbunyi Existential Loneliness. Kesunyian kewujudan? Bukan...

Setiap orang pasti pernah merasa sunyi di dalam hidupnya, tetapi pengertian kesunyian itu mungkin berbeza dari satu individu ke individu yang lain. Pengertian kesunyian yang paling lazim adalah keseorangan, ataupun apabila seseorang itu tidak mempunyai peluang untuk interaksi dengan seseorang yang lain. Ini boleh disebabkan oleh faktor ruang, jarak atau lain-lain faktor fizikal, contohnya apabila orang itu dipenjarakan, terkandas di hutan dan sebagainya... kamu faham juga tu kan...

Kesunyian yang kedua disebabkan oleh kebosanan, atau kekurangan aktiviti interaksi dengan individu yang lain, bukan semestinya disebabkan oleh ketiadaan individu yang lain. Ini selalunya digambarkan dengan contoh seperti yang diberi di atas, iaitu apabila seseorang yang berada di dalam majlis yang sesak dengan orang tetapi masih berasa sunyi. Banyak faktor boleh dilandaskan terhadap fenomena kesunyian ini, seperti ketiadaan persamaan dalam minat, percanggahan tajuk perbualan atau apa kata orang, tidak masuk tune...?

Kesunyian yang ketiga adalah jenis kesunyian yang komplikated sekali. Ianya boleh dilalui oleh sesiapa pun, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mengetahuinya, atau tidak akan langsung terfikir tentangnya, kerana kesunyian ini masih diperdebatkan dari segi falsafah. Ini lah yang saya maksudkan dengan existential loneliness.

Mencari erti kata existential loneliness ini membawa saya kepada tidak kurang daripada 5 buku yang saya beli hanya untuk mengenali ideologi ini dengan lebih baik. Kebanyakan buku-buku tersebut mengulas sejarah pembentukan falsafah kewujudan daripada ahli-ahli fikir klasik, dan saya rasa jawapan yang kita cari tiada di sini...

Seseorang yang kesunyian dalam kewujudannya mungkin akan menunjukkan beberapa simptom atau gejala seperti berikut (bukan dalam urutan):

1. Sentiasa dahagakan perhatian daripada sesiapa sahaja, terutamanya daripada mereka yang dirasakan dirinya dicabar.

2. Kecundang dalam percintaan atau mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri daripada komitmen.

3. Selalu merasa kesunyian walaupun dikelilingi kawan dan merasakan bahawa dirinya tidak difahami oleh sesiapa pun.

Fenomena ini bukanlah satu masalah mental, mahupun ianya sesuatu penyakit. Ia juga cenderung berlaku kepada mereka yang mempunyai sifat diri melankolik (mengikut pembahagian peribadi 4 kategori: melankolik, sanguin, flegmatik atau kolerik) kerana peribadi melankolik mempunyai kecenderungan untuk "terlampau berfikir" dan meninjau ke dalam jiwanya.

Uiseh... saya ni sah melankolik.

Pernah juga saya terfikir, adakah kesunyian ini, satu entiti yang zahir, wujud, atau permainan minda semata-mata? Boleh kah seseorang itu menghilangkan rasa sunyi nya hanya dengan berfikiran positif? Jika boleh, mengapa masih ada yang murung / depress kerana merasakan dirinya sunyi?

Walau bagaimanapun, kesunyian itu adalah sesuatu yang perlu diterima dengan penuh ikhlas kerana ianya sebahagian daripada asam garam dalam kehidupan, dan kesunyian itu biasanya adalah satu jemputan untuk seseorang itu melihat ke dalam jiwanya, dan mula mengenali dirinya dengan lebih dalam.

Seperti yang tertera pada shout-bubble saya di sebelah kanan, apabila seseorang itu dapat mengenali dirinya atau menerima dirinya dengan dalam, maka dia tidak lagi akan berasa sunyi...

Ngam ka tu? Saya rasa la....

*****************************************************************************

Ujian ini tiada kena mengena dengan topik kesunyian yang dibicarakan, tetapi mengetahui personaliti anda sedikit-sebanyak akan memudahkan anda menerima diri anda seadanya...

Sila buat ujian personaliti ini untuk mengenali diri anda dengan lebih baik...




No comments: