My Own Happiness Project

My Own Happiness Project
because happiness begins inside and flows out...

20090307

tragedi di muara sungai........

Minggu yang lalu merupakan suatu masa yang agak mencabar bagi saya. Bermula dengan outstasi ke Keningau untuk menghadiri Mesyuarat Teknikal Kawalan Penyakit Berjangkit, diikuti dengan kursus HSR atau Kursus Penyelidikan Sistem Kesihatan (Health System Research) di mana para peserta kursus dari semua daerah dimestikan memilih salah satu masalah dalam sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di daerah masing-masing untuk diselesaikan secara teknik penyelidikan.

Namun isu yang paling mencabar bukan timbul daripada kursus ini. Jika anda ada terbaca dalam akhbar Sabah Times pada 5 Mac yang lalu, anda mungkin ternampak berita tentang kematian seorang remaja akibat daripada kemalangan bot di perairan Tetabuan di daerah Beluran pada hari sebelumnya.

Remaja tersebut, seorang lelaki berumur 19 tahun, pada masa itu sedang mengikuti pakciknya turun ke laut untuk menangkap ikan. Malang tidak berbau, sampan berenjin kuasa kecil (dipanggil jongkong oleh penduduk tempatan) yang digunakannya bertembung dengan bot berkuasa besar milik Pejabat Kesihatan yang pada masa itu sedang dalam perjalanan ke Pulau Keniogan untuk menjalankan aktiviti kawalan wabak denggi yang sedang melanda pulau tersebut. Remaja terbabit dibawa dengan serta merta ke Hospital Beluran tetapi tidak berjaya diselamatkan akibat pendarahan di kepala yang serius.

Pada mulanya, saya terpaksa mengendalikan kes ini melalui telefon, tetapi keadaan menjadi rumit menjelang hari kedua apabila keluarga si mati datang ke pejabat untuk menuntut pampasan. Kes ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan, dan kakitangan yang terbabit terpaksa diberi penempatan baru dalam masa 24 jam.

Buat masa ini, kes ini dirasakan tenang buat seketika, diharapkan ketenangan ini berlanjutan.

2 comments:

JOE'S BIZNES CAFE said...

daymnnn....

lanz said...

hahaha.. satu penulisan yang baik. Ada sedikit kesilapan tatabahasa di beberapa tempat namun ianya tidak begitu ketara. Secara keseluruhannya, memuaskan! gambate!!